Wednesday, June 15, 2016

SADE 1013

1.0 PENGENALAN Industri pelancongan merupakan antara aktiviti keusahawanan berdasarkan perkhidmatan dapat menjana pendapatan negara dan juga meningkatkan imej negara. Di Malaysia, industri pelancongan merupakan salah satu punca pendapatan negara yang diperoleh melalui pengaliran masuk wang asing dan aliran wang dalam negara. Malaysia pada peringkat global telah diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan utama, dengan kedudukan di antara 10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan 15 antara teratas dari segi penerimaan global. Industri pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting kepada ekonomi negara, menjana pendapatan negara kasar (PNK) sebanyak RM36.9 bilion pada tahun 2009. Malaysia telah meletakkan sasaran untuk mencapai 2020:36:168, iaitu pada tahun 2020, Malaysia akan menerima 36 juta ketibaan pelancong dengan penerimaan sebanyak RM168 bilion. Ini bermaksud bahawa industri pelancongan akan berkembang sebanyak tiga kali ganda dan pelancongan akan menyumbang penerimaan berjumlah RM3 bilion setiap minggu kepada Negara pada tahun 2020. Pelancong adalah mereka yang berada di luar kawasan tempat tinggal mereka. Mathieson & Wall (1982), mengatakan bahawa pelancongan melibatkan pergerakan sementara manusia kepada destinasi di luar tempat kerja biasa dan tempat tinggal. Pelancongan juga melibatkan aktiviti yang dilakukan di tempat yang dituju dan kemudahan yang diwujudkan untuk menampung keperluan mereka. Berdasarkan definisi tersebut, pelancongan bukanlah hanya melibatkan kemasukan pelancong dari luar negara sahaja, malahan juga pelancong tempatan yang bermalam di destinasi pelancongan.Menurut G.A. Schmoll (1977) dalam bukunya Tourism Promotion memberi penjelasan bahawa industri pelancongan ialah suatu pengagihan industri yang terdiri daripada perusahaan yang berbeza-beza dalam saiz, petempatan, tugas, jenis organisasi, deretan perkhidmatan yang diberikan dan kaedah yang digunakan untuk memasarkan dan menjualnya. Manakala, Prof. Hunziker (1952) memberikan definisi industri pelancongan sebagai sebuah perusahaan pelancongan merupakan suatu kewujudan perniagaan yang menyediakan barangan dan perkhidmatan khusus untuk pelancong dengan menggabungkan pelbagai faktor pengeluaran.Perkataan “tourism” datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari (1977) mendefinisikan pelancongan sebagai, “suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran”.Seterusnya, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari”. Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri pelancongan secara khususnya. World Tourism Organization mengatakan pelancongan merujuk kepada, “aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya”. 2.0 TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan baru yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju menjelang tahun 2020. Dalam sistem pelancongan, aspek yang perlu diberi penekanan adalah kewujudan pelancong, pembekal barangan ataupun perkhidmatan pelancongan, kerajaan dan juga tuan rumah destinasi yang terpilih. Dalam erti kata lain, keempat-empat elemen ini perlu terlibat dalam mewujudkan sebuah industri pelancongan. Apabila seseorang individu itu melancong, bermakna mereka adalah pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan. Dalam sistem pelancongan terdapat dua bahagian utama yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan dalam industri pelancongan iaitu bahagian pasaran dan bahagian pembekalan. Menurut Butler (1980), pembangunan sesuatu destinasi pelancongan adalah melalui suatu proses evolusi, melainkan destinasi yang dirancang. Umumnya, pembangunan sesuatu destinasi pelancongan melalui empat tahap; iaitu tahap penerokaan, penglibatan, pembangunan, dan tepu. Pada tahap penerokaan alam sekitar yang cantik akan menarik sebilangan kecil pelancong yang mengatur sendiri lawatan mereka. Kegiatan mereka tidak mengikut mana-mana pola yang wujud kerana tidak ada kemudahan yang disediakan untuk pelancong. Dengan itu aktiviti pelancongan pada tahap ini tidak mewujudkan apa-apa kesan negatif terhadap persekitaran fizikal, maupun sosial. Pada tahap penglibatan, penduduk tempatan biasanya akan melibatkan diri dengan menyediakan kemudahan asas untuk pelancong. Kemudahan asas yang disediakan biasanya pada peringkat kecil-kecilan sahaja. Pada tahap pembangunan pula akan terdapat perubahan yang ketara yang melibatkan penyediaan kemudahan moden yang lebih besar. Biasanya pelaburan modal yang besar akan datang dari luar. Pada tahap ini bukan hanya pelaburan yang datang dari luar, tetapi masyarakat luar juga terlibat. Pelbagai cara dilakukan pada tahap ini untuk menarik lebih ramai pelancong ke destinasi yang disediakan. Langkah-langkah promosi dan pemasaran akan turut dilakukan. Pada tahap ini biasanya persekitaran fizikal akan dieksploitasi sebanyak mungkin untuk menampung kunjungan lebih ramai pelancong. Apabila persekitaran fizikal tidak lagi mampu untuk dieksploitasi untuk pembangunan seterusnya destinasi tersebut dianggap sudah mencapai tahap tepu. Pada peringkat ini bilangan pelancong telah melebihi daya tampung fizikal dan psikologi. Keadaan seperti ini akan menyebabkan daya tarikan destinasi berkenaan akan mula merosot dan mengakibatkan pelancong mencari destinasi alternatif (Sulong Mohamad 2000). Bilangan pelawat dan pelancong yang membuat perjalanan bagi mengisi masa lapang meliputi antara 65 peratus dan 75 peratus daripada jumlah pelancong keseluruhan. Namun secara pastinya ia dipecahkan kepada sejumlah bilangan yang berbeza di seluruh dunia. Keadaan ini merupakan perspektif sebenar dalam pergerakan antarabangsa. Pertubuhan Pelancongan Sedunia (WTO) pada tahun 1996 telah mengenalpasti bahawa pelancongan domestic adalah sepuluh kali ganda daripada kumpulan yang membelanjakan wang bagi tujuan pelancongan. Manakala bagi Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, pelancongan domestic adalah merupakan kumpulan yang besar kerana wujudnya factor dalaman yang kuat dan kemudahsampaian dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain dengan baik. Namun begitu, pelancongan antarabangsa adalah kumpulan pelancong sasaran yang amat penting bagi meningkatkan ekonomi sesebuah Negara. Situasi yang sama dilihat dengan pilihan dan citarasa individu untuk memilih suasana yang berbeza daripada persekitaran hariannnya. Di Malaysia sektor pelancongan juga merupakan sektor kedua terpenting kepada negara ini selepas sektor pembuatan dan petroleum (Badaruddin, 2008). Kemasukan rakyat asing untuk tujuan perdagangan dan keagamaan telah memperkenalkan negara ini ke dunia luar. Walau bagaimanapun, perkembangan industri ini secara teratur hanya bermula apabila kerajaan menubuhkan Perbadanan Kemajuan Pelancong Malaysia (TDC) pada 10 Ogos, 1972. Pada tahun yang sama, satu Persidangan Persatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) yang diadakan di Kuala Lumpur telah secara langsung merangsang pertumbuhan ini. Melalui penglibatan kerajaan, maklumat penting telah dikumpul dan dengannya perkembangan industri pelancongan dapat dikesan serta pertumbuhannya dapat dirancang dengan cara yang lebih sistematik. Merujuk kepada hasrat kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian yang maju sepenuhnya pada tahun 2020; pelancongan telah dikenal pasti sebagai salah satu sektor utama yang menjadi sumber baru dalam memangkin pembangunan sosio ekonomi negara. Menyedari hakikat ini, maka pelancongan adalah salah satu sektor ekonomi yang berpotensi untuk dibangunkan dan dipertingkatkan dalam mencapai Wawasan 2020 iaitu menjadi sebuah negara maju. Pembangunan projek pelancongan mega khususnya Projek Pelancongan Raksaksa Malaysia yang melibatkan negeri Pahang, Johor, Melaka, Selangor, Perak dan Terengganu dengan kos sebanyak RM1332.6 bilion iaitu dengan keluasan tanah sebanyak 4,697 keseluruhannya, adalah bukti kesungguhan pIhak berkuasa untuk memajukan sektor tersebut di negara ini. Sektor pelancongan hari ini juga telah dikategorikan sebagai ekonomi berpotensi cerah dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara, penyediaan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan imej negara di mata dunia. Penubuhan industri khusus bagi sektor pelancongan merupakan pengiktirafan serta ketersediaan kerajaan Malaysia untuk memajukan terus industri pelancongan ini. Sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan untuk permulaan promosi kepada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan ketika ditubuhkan pada tahun 1987, khususnya ke pasaran Amerika Syarikat dan Jepun (New Straits Time, 6 Januari 1988). Bahkan kecemerlangan pembangunan industri ini dari tahun ke tahun telah dapat dilihat dengan peningkatan pendapatan yang menjana hasil sehingga RM53 bilion pada tahun 2009. Bukan itu sahaja, malahan pengiktirafan dunia melalui Pertubuhan Pelancongan Sedunia telah menempatkan Malaysia di tangga kesembilan dalam jumlah kedatangan pelancong dunia pada tahun yang sama (2009). Sebagai insentif tambahan dan pengiktirafan terhadap industri pelancongan di Malaysia ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia menerusi pembentangan bajet 2011 telah memperuntukkan sebanyak RM235 juta diringi dengan pelbagai perancangan penyusunan semula Jabatan Penerbangan Awam menjadi Lembaga Penerbangan Awam dan pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima hingga tiga puluh peratus (Perangkaan Malaysia, 2011) 3.0 KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA Sektor pelancongan kekal menjadi peneraju utama pembangunan ekonomi Malaysia. Sektor yang mampan dan menjana pulangan tinggi ini akan terus memberi sumbangan kepada ekonomi Malaysia dengan, menyediakan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada Rakyat. Hari ini, Malaysia mencapai kedudukan yang kukuh dalam pelancongan global. Malaysia merupakan negara ke-9 yang paling banyak dikunjungi di dunia dan memperoleh RM1 bilion penerimaan daripada pelawat asing setiap minggu. Menyedari kelebihan dan kedudukan kukuh yang dimiliki dalam industri pelancongan pada peringkat global, Kerajaan bersama-sama dengan sektor swasta adalah komited untuk memajukan lagi sektor ini untuk manfaat seluruh Rakyat. 3.1 Menyumbangkan pendapatan negara dan membangunkan ekonomi. Pelancongan dapat menyumbangkan pendapatan negara dan membangunkan ekonomi. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjelaskan bahawa pihak kerajaan telah mensasarkan kehadiran pelancong seramai 29 juta pelancong dengan pendapatan RM89 billion pada tahun 2015 sempena penganjuran Tahun Festival (MyFest 2015). Hal ini disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Melalui kedatangan pelancong asing, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak. Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi. Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara. Seterusnya, wang yang diperolehi oleh kerajaan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara. 3.2 Pertukaran wang asing Sektor pelancongan juga telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ekonomi dan menjana pendapatan negara. Ia merupakan salah satu daripada peneraju ekonomi negara dan merupakan punca pertukaran wang asing negara. Langkah kerajaan yang menjayakan program Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990 telah meningkatkan hasil pendapatan negara melalui pertukaran matawang asing. Ketika negara mengalami krisis kewangan pada 1997 dan 1998, kerajaan telah mengambil beberapa strategi dalam sektor pelancongan dalam usaha meningkatkan semula ekonomi Malaysia yang terjejas. Kerajaan telah mempertingkatkan lagi promosi pelancongan negara dan meneroka pasaran baru dunia bagi menarik lebih ramai pelancong melawat Malaysia. Dengan peningkatan kemasukan pelancong tersebut, ekonomi negara yang terjejas akibat krisis kewangan tersebut telah mula kembali pulih. Pertumbuhan industri pelancongan menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui rantaian rapat dengan beberapa industri lain seperti pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman, hiburan dan membeli belah. 3.3 Membuka banyak peluang pekerjaan Selain itu, industri pelancongan juga telah membuka banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan seperti perusahaan restoran, peruncitan, penyediaan perkhidmatan pengangkutan, dan penyediaan penginapan. Melalui subsektor eko-pelancongan, ia telah membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk melibatkan diri dalam penyediaan penginapan melalui program homestay. Inisiatif kerajaan dalam membangunkan program homestay sebagai produk pelancongan desa adalah satu pendekatan yang baik dalam memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi tradisional tempatan. Namun tahap pencapaian sehingga kini, perubahan hanya berlaku dari aspek kuantiti program tetapi dari aspek kualiti program homestay tidak jauh berbeza. Pelancongan luar bandar yang menawarkan program homestay banyak melibatkan aktiviti-aktiviti yang memberi pengalaman kepada pengunjung seperti perkhemahan, kembara dihutan dan sebagainya. Selain itu pelancongan luar bandar turut mempromosikan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan keagamaan sesuatu kaum seperti adat perkahwinan, upacara keagamaan seperti marhaban, berzanji, burdah dan nasyid bagi masyarakat islam. 3.4 Menarik lebih ramai pelabur asing Kegiatan pelancongan yang aktif memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di negara ini. Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat beli-belah, dan sebagainya malahan dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang tiada kaitan dengan pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Kerajaan dapat mengelakkan pembaziran wang negara digunakan untuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan yang menelan kos terlalu tinggi. Sebagai contoh, Pulau Langkawi yang dibangunkan sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia, pihak kerajaan dan swasta terpaksa melabur sebanyak RM4.5 bilion. Adalah lebih bermanfaat kos yang terlalu tinggi disalurkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang lebih mendesak dengan membina lebih banyak rumah kos rendah untuk mereka yang masih tidak berumah. Jelaslah, kehadiran pelabur asing yang ramai dapat membantu kehidupan masyarakat kita, terutamanya di kalangan mereka yang miskin dan terabai akan lebih terjamin. 4.0 HALANGAN / CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN Tragedi-teragedi yang berlaku beberapa tahun yang lepas, seperti kehilangan pesawat MH370, tragedi penculikan di Pulau Sipadan, pencerobohan di Lahat Datu dan kemalangan keatas pesawat MH17, sedikit sebanyak telah menjejaskan industry pelancongan Negara. Rentetan dari peristiwa misteri kehilangan pesawat MH370 pada Mac 2014, telah menyaksikan jumlah ketibaan pelancong dari Negara Cina terjejas. Trend ini dilihat sedikit membimbangkan kerana bilangan pelancong dari Negara Cina menduduki lima tangga teratas dari segi jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia sebelum ini. Dan insiden pencerobohan di Lahat Datu, Sabah pada tahun 2013 serta siri penculikan pelancong asing di pulau-pulau sekitar pantai Timur Sabah turut menjadi penyebab dalam penurunan jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia akhir-akhir ini. Walaupun kerajaan telah mengambil langkah yang drastik untuk memulihkan keadaan melalui beberapa agensi seperti pengecualian visa bagi pelancong dari China tetapi, senario terkini Industri Pelancongan negara tidak sepertimana yang dijangkakan dimana menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia menjangkakan Malaysia akan menarik seramai 28 juta pelancong pada tahun 2014 dan menjana hasil sebanyak RM76 bilion. 4.1 Pencemaran Alam Sekitar Pencemaran alam sekitar merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara Malaysia. Hal ini disebabkan, pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir anggota masyarakat dan telah merosakkan kecantikkan dan kebersihan alam sekeliling. Pada masa kini, Malaysia mempunyai alam sekitar yang cantik serta indah dan telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara ini. Jika pencemaran alam sekitar menjadi semakin buruk, sektor pelancongan di Malaysia pasti akan terjejas kerana pelancong-pelancong hendak menikmati persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor serta busuk. Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun melalui Borneo Post, beliau berkata terdapat ramai kalangan pelancong yang datang ke negeri ini mengutarakan aduan yang mengatakan bahawa tandas restoran dan awam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu berada dalam keadaan sangat tidak memuaskan. Katanya, di samping tandas yang kotor, sampah sarap juga dibuang merata-rata oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Keadaan infrastruktur dan alam sekitar yang kotor dan tidak bersih akan memberikan tanggapan yang negatif kepada para pelancong asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan. Hal ini akan membawa kerugian kepada pendapatan dan ekonomi negara terutamanya. Perlombongan bauksit di beberapa kawasan di negara ini juga sedikit sebanyak telah menjejaskan sektor pelancongan negara malah kesan kegiatan itu telah mengurangkan sebanyak 20 peratus kehadiran pelancong ke hotel dan resort yang berdekatan lokasi perlombongan terutama dalam tempoh enam bulan terakhir 2015. Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Dr Ahmad Puad Mat Som berkata, kegiatan perlombongan bauksit di negara ini turut memberi tekanan kepada pengusaha pelancongan memandangkan sektor pelancongan amat bergantung kepada alam sekitar. Menurut beliau lagi sktor pelancongan amat bergantung pada alam sekitar malah kajian berdasarkan simbiotik menunjukkan ia saling berhubung erat dan saling melengkapi. Jadi, sekiranya alam sekitar musnah dan terjejas, ia telah memberikan tanggapan negatif kepada pelancong luar. Disamping itu terdapat masalah pencemaran bahan buangan pepejal di pantai dan juga di pulau-pulau peranginan. Di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu yang merupakan dua buah pulau yang menjadi tumpuan pelancong, masalah sampah sarap masih tidak dapat dibendung dengan sempurna walaupun terdapat insinerator. Malahan terdapat banyak pantai pelancongan dan peranginan popular di seluruh negara yang masih mengalami masalah sampah sarap yang tidak diuruskan dengan baik, dan ada juga pengusaha pusat-pusat pelancongan dan rekreasi yang membakar sampah sarap secara terbuka dan mewujudkan masalah pencemaran udara. Masalah bahan mendak dikaitkan juga dengan kemerosotan kualiti air di perairan pinggir pantai dan impaknya terhadap hidupan akuatik serta batu karang. Banyak kawasan batu karang kini hampir pupus bukan hanya disebabkan oleh pengambilannya oleh pelancong yang tidak bertanggungjawab, tetapi juga oleh masalah pencemaran bahan mendak. Impak pembangunan pelancongan terhadap persekitaran fizikal di zon pinggir pantai sebenarnya memang sukar untuk dinyatakan dengan jelas dalam suatu jangka masa yang singkat. Bagaimanapun, kajiankajian di beberapa destinasi pelancongan menunjukkan bahawa persekitaran fizikal pinggir pantai sememangnya mengalami masalah daripada pelbagai sudut akibat pembangunan pelancongan, dan aktiviti pelancong. 4.2 Ketidakstabilan Politik Kestabilan politik sesebuah negara amat memainkan peranan dan sekiranya kestabilan politik ini tidak dapat dicapai ia juga akan memberi impak yang besar kepada negara termasuklah pelaburan, perusahaan mahupun pelancongan. Ketidakstabilan politik menyebabkan pembangunan negara menjadi perlahan yang menyebabkan pembinaan prasarana untuk pelancong semakin berkurangan, serta semua aktiviiti pembangunan yang dirancang juga akan terganggu. Selain itu, ketidakstabilan politik juga menyebabkan imej negara turut terjejas. Ramai pelancong tidak akan melancong ke negara ini dan secara langsung mereka akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain. Sebagai contoh adalah rusuhan atau peperangan yang berlaku di sesebuah negara menyebabkan pelancong takut untuk pergi ke negara tersebut. Imej negara ini juga dikhuatiri akan berlanjutan dalam tempoh yang lama walaupun kestabilan politik telah dicapai disebabkan imej buruk yang telah terjejas. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan. 4.3 Kebudayaan Tempatan Kebudayaan tempatan yang semakin dilupai oleh orang ramai juga merupakan salah satu cabaran bagi industry pelancongan. Pada era globisasi ini, terdapat ramai remaja mengabaikan kebudayaan sendiri dan mempelajari budaya Barat. Kebudayaan merupakan faktor yang penting dalam sektor pelancongan kerana pelancong-pelancong ingin merasai dan mengetahui kebudayaan tradisi negara yang tidak ada di negara lain. Antaranya adalah seni silat, tarian tradisional, pakaian tradisional dan banyak lagi yang semakin dilupakan oleh anak muda. Jika tidak diwarisi oleh anak-anak muda ketika ini keunikan sesebuah negara akan hilang yang membawa kepada kurangnya pelancong yang akan datang ke negara tersebut. 4.4 Masalah Budaya Barat Isu moral pelancong asing di negara sebenarnya adalah satu cabaran baharu industri pelancongan Malaysia.Bukan sekali dua negara kita digemparkan dengan kelakuan tidak senonoh, salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh pelancong asing. Sudah banyak kali ia berlaku.Sebagai sebuah negara Islam dan penduduknya berpegang kepada nilai-nilai ketimuran dan menjaga adab sopan, kita tentunya berasa tidak senang dengan tindakan pelancong asing yang tidak menghormati budaya kita apabila bertandang ke negara ini.Tindakan 10 pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu, Sabah pada hujung Mei lalu mendapat perhatian dan kritikan pelbagai pihak.Sesetengah penduduk Sabah percaya Gunung Kinabalu adalah tempat suci dan tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Mereka mengaitkan perbuatan berbogel itu menjadi penyebab kejadian gempa bumi di Sabah atas alasan penunggu gunung marah terhadap perbuatan tidak bermoral itu.Itu faktor kepercayaan. Tidak kira sama ada apa faktor sekalipun termasuklah kajian daripada ahli sains tentang fenomena gempa bumi itu, kita tidak boleh terlepas daripada memperkatakan tentang perbuatan negatif pelancong asing yang turut membawa kesan kepada industri pelancongan tempatan. Kes-kes seperti pelancong asing berjemur di pantai tanpa pakaian dan separuh bogel adalah satu cabaran yang sukar ditangani sekiranya mereka ini tidak memahami budaya negara ini atau dengan sengaja tidak mahu menghormati peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di sesuatu destinasi pelancongan kita.Setiap lokasi pelancongan di negara kita tidak kira sama ada pantai, pulau, tempat bersejarah, tanah tinggi dan sebagainya sudah mempunyai peraturan-peraturan yang ditulis dalam pelbagai bahasa untuk mengingatkan setiap pelancong tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh di kawasan-kawasan pelancongan tersebut. Maka, ini semua bergantung kepada penguatkuasaan, pemantauan dan sikap pelancong itu sendiri untuk mengelakkan berlakunya perbuatan-perbuatan yang sumbang pada pandangan rakyat tempatan kita.Secara logiknya, memang sukar bagi pihak berkuasa di sesuatu kawasan pelancongan boleh menangani setiap tingkah laku pelancong. Jika ramai pelancong, makin banyak kerenahnya dan makin sukarlah hendak dikawal.Papan tanda arahan dan amaran sudah cukup untuk membuktikan bahawa kita sudah berusaha menyekat perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan budaya kita ini.Cumanya, kita terpaksa berserah kepada ‘kebijaksanaan’ pelancong luar ini, sama ada mereka mahu melancong untuk menikmati keindahan, memperoleh pengetahuan atau memberi bebanan kepada kita. Pelancong yang bertanggungjawab tentunya akan menghormati budaya, agama dan sensitiviti penduduk di sesebuah negara yang dilawati, bukannya membawa pelbagai masalah kepada negara yang dikunjungi. Samalah juga, jika pelancong datang ke negara kita untuk melakukan jenayah, niatnya sudah tersasar dan tidak boleh dimaafkan malah tindakan tegas mesti diambil ke atas pelancong seperti ini. Ironinya, jika penduduk dari negara ini melancong ke negara asing, undang-undang atau peraturan di negara itu mesti kita dipatuhi. Kerana itulah, pepatah ada mengatakan, ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’ yang menunjukkan bahawa kita mesti ikut apa yang kebanyakan orang itu buat di tempat mereka, tetapi apa yang dibuat itu adalah perkara yang baik-baik. Kerana itulah juga, kita sentiasa berhati-hati dengan elemen-elemen dari luar yang datang ke negara kita kerana pelbagai gejala tidak sihat dibawa oleh mereka yang boleh mempengaruhi cara hidup sesetengah daripada kita. Konsert-konsert yang membabitkan artis dari luar terutamanya dari Barat sering mencetuskan gejala tidak sihat. Pengambilan dadah, arak dan kelakuan di luar kawalan sering menjadi isu apabila konsert ini diadakan. Maka tidak hairanlah, industri pelancongan di negara kita terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah yang perlu dipikul bersama. Setiap tahun, kita menyasarkan peningkatan jumlah pelancong asing ke negara ini memandangkan pelancong asing turut menjana pendapatan negara. Pelbagai cara dan pendekatan kita lakukan untuk mencapai matlamat tersebut tetapi industri ini tetap mempunyai pelbagai halangan. Justeru untuk menangani isu pelancong asing yang berkelakuan tidak senonoh ini, garis panduan untuk mereka mesti diperkemaskan. Meskipun budaya sesetengah masyarakat negara asing agak bercanggah dengan budaya kita, itu tidak bermakna kita terpaksa bertolak ansur dengan apa jua perbuatan yang tidak senonoh di mata kita yang mereka lakukan itu di negara ini. Dalam kita mengalu-alukan pelancong asing, kita juga perlu bertegas dalam soal peraturan, adab sopan dan budaya negara ini. 5.0 SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN Sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila Kementerian Pelancongan melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing telah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi pula, sebanyak RM150 juta telah diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara. Oleh yang demikian, bagi memastikan sektor pelancongan terus mekar, pelbagai pihak perlu memainkan peranan yang aktif untuk berganding bahu memajukan sektor ini. Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia. Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong. Antaranya kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agropelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf dunia. Selain kerajaan, para pengusaha pelancongan telah diseru agar meningkatkan kualiti perkidmatan mereka. Oleh yang demikian, operator pelancongan perlu bergerak seiring dengan saranan kerajaan menarik kemasukan pelancongan dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan selari dengan harapan pelancong yang datang. Kita tidak mahu senario, indah khabar dari rupa akan menjahanamkan usaha promosi yang telah dilakukan. Maka, para pengusaha tempat penginapan haruslah menyediakan kemudahan yang kondusif selari dengan kehendak pelancong sama ada melibatkan hotel bertaraf lima bintang mahu pun penginapan desa. Seterusnya, para pengusaha pengangutan awam seperti pemandu teksi dan bas pelancongan diingatkan agar menyediakan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan dan memberikan layanan yang mesra kepada para pelancong. Sikap buruk sesetengah pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam amat kita kesali kerana telah merosakkan imej negara. Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tidak kurang penting ialah kebersihan tandas-tandas awam perlu dititikberatkan kerana elemen berkenaan akan menggambarkan mentaliti rakyat tempatan. Tegasnya, pengusaha pelancong yang bertindak sebagai barisan hadapan industri pelancongan wajar menyediakan perkhidmatan yang bertaraf dunia sesuai dengan taraf negara sebagai negara membangun yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan. Mereka janganlah bersikap seperti kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan apabila terlalu taksub untuk melancong ke luar negara. Intihanya, warga tempatan diharapkan agar lebih bersikap patriotik untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan. Kini sektor pelancongan di negara ini giat memajukan beberapa aspek yang berkaitan dengan keperluan industri ini, umpamanya mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja dalam sektor ini melalui latihan; pembangunan produk pelancongan seperti mempromosikan Malaysia sebagai destinasi peranginan bukit dan pulau, destinasi membeli-belah, dan upacara-upacara bertema. Promosi juga giat dijalankan untuk pelancongan sukan dan rekreasi, pelancongan ekologi, pelancongan pertanian dan program tinggal di rumah angkat, pelancongan budaya dan warisan, dan pelancongan pendidikan serta kesihatan. Malahan pihak kerajaan dan sektor swasta juga mengambil langkah mempertingkatkan kemampuan negara sebagai destinasi pameran, mesyuarat dan persidangan melalui pelbagai insentif (Malaysia 2001). Di samping galakan dan sokongan padu yang diberikan oleh pihak kerajaan, pembangunan pelancongan banyak bergantung pada sektor swasta terutamanya dalam mewujudkan pelbagai kemudahan untuk industri tersebut. Malahan sektor swasta telah dengan secara aktifnya menggerakkan pertumbuhan industri pelancongan di negara ini melalui pelaburan pembinaan hotel dan projek-projek yang berkaitan dengan pelancongan. Jumlah hotel telah bertambah daripada 1,220 buah pada 1995 kepada 1,492 buah pada akhir tahun 2000. Bilik hotel pula bertambah pada 76.1 peratus daripada 76,370 pada tahun 1995 kepada 134,500 buah pada tahun 2000 (Malaysia 2001). Jelas kelihatan bahawa tidak kurang usaha yang telah dilakukan dalam sektor pelancongan di negara ini sehingga menjadikannya sebagai salah satu daripada penyumbang utama kepada pendapatan negara. Bagaimanapun, dalam keghairahan untuk meraih lebih banyak tukaran wang asing dan menjana pertumbuhan di kawasan-kawasan tertentu, kadang kala persekitaran fizikal tidak dijaga dengan baik dan menyebabkannya mengalami kemerosotan. 6.0 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN. Faktor utama pelancong datang di sesebuah negara adalah kerana kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan yang terdapat di sesebuah negara. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju Misalnya, banyak pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemudahan yang baik akan memudahkan para pelancong menelusuri dari satu destinasi pelancongan ke satu destinasi pelancongan yang lain dan dapat membangunkan industri ini Selain itu, kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik banyak pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau busuk selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini. Tegasnya, keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu dititikberatkan agar industri ini dapat dibangunkan. Bukan itu sahaja, kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat-tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan kewujudan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada suatu ketika dahulu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam menarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak. Pendek kata, komitmen kerajaan dengan badan-badan tertentu dalam menyebarkan keunikan negara kita ke peringkat global turut merancakkan perkembangan industri ini Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Kejadian seumpama ini akan membimbangkan pelancong untuk melancong di negara kita dan sekali gus akan mengancam industri ini. Oleh itu, pihak berautoriti perlulah menambahkan bilangan anggota keselamatan terutamanya di destinasi tumpuan pelancong agar keselamatan dan kesejahteraan pelancong akan terjamin. Rondaan juga perlu dilakukan dengan lebih kerap dan lebih banyak pondok keselamatan didirikan. Dengan ini, pihak yang ingin melakukan perbuatan yang terkutuk tidak dapat dilakukan kerana adanya kawalan dan pemantauan yang ketat oleh pihak berkuasa. Ringkasnya, aspek keselamatan perlu dititikberatkan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej Negara. Seperkara lagi, pelbagai aktiviti yang menarik perlulah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan. Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan negara kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat kita dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita. Hal ini dapat diibaratkan sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa industri pelancongan dapat dimajukan dengan mengadakan pelbagai aktiviti Negara yang menarik. 7.0 KESIMPULAN Sektor pelancongan merupakan satu industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ia merupakan satu sektor yang penting bagi meningkatkan hasil pendapatan Negara melalui peningkatan jumlah pelancong yang berkunjung. Pergerakan dan perbelanjaan para pelancong mampu meningkatkan pendapatan negara melalui cukai membeli belah, cukai penginapan, cukai makanan dan juga melalui pertukaran matawang asing. Di samping itu, sektor pelancongan juga dilihat mampu menjana pendapatan dan ekonomi penduduk setempat dengan penyertaan mereka dalam industri tersebut. Kerajaan Persekutuan telah melakukan pelbagai pelaburan dengan jumlah peruntukan dana yang tinggi bagi membangunkan sektor pelancongan negara. Tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja supaya industri pelancongan dapat dimajukan. Setiap anak watan perlu merancang usaha-usaha yang istiqamah, pragmatik dan efektif perlu diambil untuk melihat industri ini merentasi benua dan dunia. Langkah prima untuk meningkatkan industri pelancongan negara ialah kerajaan perlu memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara kita sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong. Pelbagai lapisan masyarakat perlu sama-sama membantu meningkatkan bidang pelancongan negara seterusnya dapat menyumbang kepada kemajuan negara. Perancangan pelancongan juga merupakan satu perancangan yang menyeluruh melibatkan pelbagai komponen bagi memenuhi kumpulan sasarannya iaitu pelancong (sama ada pelancong domestik atau antarabangsa). Ini kerana, dengan penyelidikan, pemantauan dan perancangan yang teliti dan mengambil kira semua komponen pembangunan dalam perancangan pelancongan seperti tarikan dan aktiviti pelancong, penginapan, industri dan perusahaan, infrstruktur, pengangkutan, hospitaliti dan lain-lain sudah pasti akan dapat meningkatkan industri pelancongan di Malaysia. Bukan itu sahaja, perancangan pelancongan juga merupakan satu perkara yang amat penting kerana semua elemen yang disasarkan kepada para pelancong itu juga haruslah mengambil kira kepentingan dan keperluan penduduk tempatan untuk dikongsi bersama. Justeru, melalui kajian ini didapati bahawa pendapat dan tingkat kepuasan pelancong adalah amat penting kerana ia merupakan cermin kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah destinasi itu menawarkan produk pelancongan sebagaimana yang mereka harapkan. 9.0 RUJUKAN JAMALUDDIN MD. JAHI(2009), Pembangunan Pelancongan dan Impaknya terhadap Persekitaran Fizikal Pinggir Pantai. Malaysian Journal of Environmental Management 10(2) : 71-88 Jabatan Perangkaan Malaysia (2011). Akaun Satelit Pelancongan Malaysia 2001-2010. Putrajaya Percetakan Jabatan Perangkaan Malaysia. Rosniza Aznie, Usman , Suriati , Abdul Rahim, Rosmiza , Mohd Fuad (2012). Pantai Peranginan Besut, Terengganu sebagai destinasi pilihan pelancong. Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 4 (64-74) 64 © 2012, ISSN 2180-2491 Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Dicapai pada 15 April 2016, dari http://www.motour.gov.my/ Program Transormasi Ekonomi: Hala Tuju Untuk Malaysia. Dicapai pada 25 April 2016, dari http://www.kkmm.gov.my/pdf/tahukah_anda/ETP_bm/bab10.pdf